Allah menjadikan manusia dengan fitrahnya yang suka akan hiburan. Hiburan boleh didefinisikan sebagai sesuatu perkara yang mampu merawat kesedihan, memberi ketenangan dan menambah kegembiraan. Namun hiburan pada abad ini bersifat sebaliknya. Bagi golongan remaja khususnya, hiburan bagi mereka adalah hiburan yang merosakkan minda, menyuapkan racun pada nilai akhlak, dan menyuntik penyakit cintakan dunia takutkan mati dalam diri setiap individu dan bersifat keduniaan semata. Jelas bakal menjadi barah jika dibiarkan. Sesuailah dengan firman Allah:
“Ketahuilah, bahwa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah- megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keridhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.” (Al-Hadid: 20)
Namun, pada minggu lepas UTM dikejutkan dengan publisiti yang disebarkan oleh Pusat Ekuin UTM yang menganjurkan UTM International Johor Horse Show 2011 yang mana di dalamnya turut diadakan konsert ‘TheTimes’ yang jelas menyalahi syariat kerana cara artis tersebut berpakaian, tingkah laku dan jenis lagu yang dimainkan kebiasaanya sangat tidak sesuai dan dibimbangi ia akan merosakkan akhlak dan pemikiran mahasiswa yang sedang menuntut di salah sebuah universiti penyelidikan yang terkemuka di Negara ini. Konsert ini juka akan menyebabkan berlakunya percampuran antara lelaki dan perempuan yang boleh mengundang kepada perkara maksiat.
Hal ini memancing perhatian para pensyarah, staff dan mahasiswa untuk berusaha menghalang ia berlaku. PMI, MPM, Unit kebudayaan, Unit keselamatan dan Pusat Islam bersama-sama berusaha melakukan bantahan. Prof Madya Zahib Deraman selaku Pengarah Unit Kebudayaan UTM dan Dr Ismail Musytari Timbalan Pengarah Pusat Islam UTM masing-masing merasakan kesal dengan pihak penganjur yang tidak merujuk kepada mereka terlebih dahulu mengenai garis panduan hiburan yang dibolehkan menurut Majlis Fatwa Negeri Johor dan di peringkat universiti sendiri. Kali ini, En Halim Pengarah unit keselamatan juga turut bertegas dan berjanji akan mengambil tindakan sewajarnya jika konsert ini diteruskan.
Akhirnya hasil daripada perbincangan yang dijalankan, tiga acara di dalam Fiesta tersebut dibatalkan iaitu rumah hantu, rhythm of champion dan acara pada malam penutupnya, konsert The Times. Semua pihak merasa amat bersyukur dan berterima kasih kepada mereka yang terlibat dalam pembatalan ini. Mereka sedar dan tidak akan berkompromi dalam hal-hal yang membabitkan gejala tidak sihat dikalangan mahasiswa.
Agama Islam tidak melarang umatnya untuk mencari hiburan. Namun, hiburan yang dipilih mestilah tidak melanggar hak dan syariat yang ditetapkan. Mahasiswa sentiasa berada di barisan hadapan bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk menghasilkan modal insan yang berintelektual dan mampu berdaya saing. Namun, mahasiswa seperti apakah yang kita mahukan? Adakah mahasiswa yang lalai dan leka ditenggelami arus hiburan melalaikan yang memupuk cinta dan kasih khayalan ? sudah tentu tidak. Mahasiswa yang Negara inginkan ialah yang mampu melihat hiburan dari sudut ilmu dan agama. Jiwanya sentiasa mencari sesuatu yang mampu mendidik untuk lebih patuh kepada agama, mendekatkan diri kepada Allah dan menambah ilmu pengetahuan.
Kami, Persatuan Mahasiswa Islam bertegas pembatalan konsert ‘The Times’ sempena International Johor Horse Show 2011 adalah wajar dan kami tidak akan mendiamkan diri dan bersetuju seandainya masih ada pihak-pihak tertentu yang masih berhasrat untuk membawa masuk mana-mana kumpulan artis yang membawa muzik yang dilihat tidak sesuai dengan kehendak syariat berlandaskan firman Allah:
“Dan janganlah kamu campur adukkan yang hak dengan yang bathil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu, sedang kamu mengetahui.” (Al-Baqarah: 42)
“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu” (Al-Baqarah: 208)
Mahasiswa Islam khususnya harus sedar dan membuka fikiran seluasnya di atas kemungkaran yang telah berleluasa di dunia ini. Allah Ta’ala telah memberi peringatan-peringatan kecil kepada hambaNya dengan menurunkan bencana alam dan wabak penyakit yang sering datang dan pergi . Namun ia masih tidak mampu memberi kesedaran kepada umat manusia. Mahukah kita ditimpa Tsunami seperti di Jepun baru-baru ini? Mahukah kita dibenamkan dengan gempa bumi atau tanah runtuh seperti di Bukit Antarabangsa suatu ketika dahulu? Mahukah kita mati kesesakan nafas disebabkan oleh penularan virus influenza A H1N1? Atau mahukah kita Malaysia diterbalikkan seperti apa yang kaum Nabi Lut rasai dahulu? Nauzubillah…
Norazlinda bt Amin
2 SPM- Ijazah Sarjana Muda Sains serta Pendidikan Matematik
Fakulti Pendidikan
Tim. Peng Lujnah Pendidikan & Kepimpinan PMIUTM
No comments:
Post a Comment