About me

Lujnah Pendidikan & Kepimpinan PMIUTM. Merupakan salah sebuah lujnah dalam organisasi PMIUTM.

Followers

Tuesday, August 25, 2009

Bengkel Asas Kemahiran Fasilitator 2009 (BAKAT ’09)


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Team Fasi Lujnah Pendidikan dan Kepimpinan PMIUTM akan menganjurkan bengkel asas kemahiran fasilitator pada hari Sabtu, 29hb Ogos 2009 bertempat di Dewan Al-Ghazali, MSI. Bengkel yang akan bermula pada pukul 8pagi dan berakhir pada pukul 6 petang ini bertujuan untuk mengasah bakat serta mendedahkan ilmu-ilmu berkaitan dengan kemahiran untuk menjadi seorang fasilitator yang hebat. Selain itu, bengkel ini juga bertujuan untuk meningkatkan kemahiran-kemahiran asas seorang mahasiswa seperti kemahiran berkomunikasi, pengucapan awam serta menyemai jiwa sebagai seorang pemimpin yang bakal berinteraksi dan berhadapan dengan pelbagai lapisan masyarakat kelak.

Bengkel ini bakal menampilkan 2 orang penceramah iaitu Ust Dr. Mohd Ismail B. Mustari, penasihat PMIUTM dan Dr. Hamdan dari Pusat Kaunseling dan Kerjaya UTM. Ust. Ismail akan menyampaikan ceramah yang bertajuk “Peserta Program Bermasalah? Bagaimana Mengatasinya? “ manakala Dr. Hamdan akan mengupas tajuk berkenaan dengan Etika Fasilitator Hebat. Selain slot ceramah, bengkel ini juga bakal diisi dengan slot-slot lain seperti LDK dan juga slot brainstorming.

Untuk makluman, pihak PMIUTM banyak menerima undangan untuk menjayakan kursus-kursus motivasi di sekolah-sekolah menengah dan rendah dalam negeri Johor. Terbaru, pihak PMIUTM di bawah kendalian LPK PMIUTM dijemput untuk menjayakan Kem Motivasi & Jati Diri (KEJAR ’09) yang telah diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Pengelih, Pengerang, Johor.

Justeru, Team Fasi LPK telah bertindak untuk menganjurkan bengkel ini bagi melatih mahasiswa mahasiswi tahun 1 khususnya yang berada dalam LPK PMIUTM sebagai persediaan awal kepada mereka untuk menjadi seorang fasilitator yang mampu membawa agenda dakwah itu sendiri di samping dapat menerapkan nilai-nilai murni kepada para peserta program nanti.

Oleh itu, semua sahabat LPK PMIUTM dan mahasiswa mahasiswi UTM dijemput hadir. Yuran sebanyak RM 5 dikenakan. Untuk penyertaan dan pertanyaan lanjut, boleh hubungi saudara Azmi 013-7917680 (mahasiswa) dan Ratna 013-9718077(mahasiswwi). –Team Fasi LPK-

Tuesday, August 18, 2009

.: TESTIMONI ANAK TAHANAN ISA :.



(Sahabat sahabiah...BAYANGKAN, ANDAINYA SUHAIB INI ADALAH DIRI KITA)


Nama saya Suhaib. Saya berusia 16 tahun. Ketika bapa saya, Mat Sah Satray ditahan di bawah ISA pada 18 April tahun 2002, saya berusia 8 tahun 5 bulan. Saya masih terlalu kecil dan tidak dapat mengingati semua peristiwa. Ketika itu saya sedang tidur, tetapi terjaga apabila beberapa orang polis masuk ke bilik tidur saya dan dengan kasar menyelak cadar, mengangkat hujung tilam, menarik rak baju, membuka serta menutup almari pakaian hingga mengeluarkan bunyi kuat yang membuatkan saya terjaga.


Umi, panggilan saya pada emak, mendukung saya dan diletakkan di sebelah abah yang ketika itu duduk di sofa di ruang tamu. Aku menoleh ke arah Abah dan nampak kedua-dua tangannya bergari. Aku menangis kerana terlalu takut melihat gari itu. Gambaran gari yang melengkar di kedua-dua belah tangan Abah amat sukar untuk hilang dari minda saya......

Agak lama juga polis menggeledah rumah kami. Seorang wanita sibuk menyoal Abah dan Umi bergilir-gilir dan kemudian menulis sesuatu di atas kertas. Manakala lima orang lelaki yang lain, sibuk membuka rak buku Abah, mengeluarkan Quran dan buku-buku agama serta menyelak-nyelak setiap muka surat dengan pantas. Saya tidak tahu, apa yang mereka cari. Tidak lama selepas itu, mereka membawa Abah masuk ke dalam van putih. Umi dukung saya dan kami berdua sempat melambai tangan kepada Abah. Sebaik sahaja van putih hilang dari pandangan, aku menangis lagi sambil memanggil-manggil Abah. Saya baring di riba Umi hingga tertidur...


Saya bagaikan melalui satu mimpi buruk di mana Abah dilarikan dari rumah oleh sekumpulan lelaki. Bila terjaga dari tidur, saya mencari Abah di semua bilik termasuk bilik air tetapi tidak ditemui. Saya mendapatkan Umi yang sedang membancuh minuman untuk bertanya tentang Abah, tetapi saya nampak Umi juga sedang menangis....


Saya asyik teringatkan Abah. Dari pagi saya tunggu Abah, tengah hari, hinggalah cuaca gelap dan masuk waktu maghrib, Abah masih juga belum pulang. Saya mula menangis kerana rindukan Abah... Ketika itu telefon rumah berdering, saya dan Umi berlari ke arah telefon tetapi apabila gagang diangkat, tiada siapa yang bercakap di hujung talian....


7 tahun telah berlalu

Peristiwa buruk itu telah berlalu tujuh tahun yang lalu, namun ianya sukar untuk hilang semuanya dari fikiran saya. Tujuh tahun lalu Abah saya dibawa pergi, hingga kini beliau tidak pernah balik ke rumah kami.


Pada tahun 2009 ini, maknanya hampir separuh usia saya membesar tanpa belaian kasih sayang, bimbingan dan sentuhan Abah walaupun beliau masih hidup. Saya membesar bertemankan barang-barang peribadinya seperti jam tangan, dompet, baju, seluar, kain pelikat dan buku-buku beliau. Saya sekadar mengikuti nasihat dan kata-kata beliau melalui surat-surat kirimannya. Jika rasa terlalu rindu padanya, saya akan pakai baju, seluar dan kain pelikat beliau. Saya letak gambar Abah di dompet duit bersebelahan dengan gambar saya.


Umi akan memastikan kami melawat Abah sekurang-kurangnya dua kali sebulan. Namun waktu lawatan selama 45 minit itu jauh dari mencukupi untuk Abah menghilangkan rindu, memberikan bimbingan, tunjuk ajar serta melepaskan kasih sayangnya kepada saya.


Satu peristiwa yang tidak dapat dilupakan ialah ketika lawatan pertama ke Kem pada 24 Jun 2002. Setelah hampir tiga minggu tidak melihat Abah sejak pertemuan terakhir di Bukit Aman, saya rasa terlalu rindu kepadanya. Kami berbual selama 45 minit dan di akhir pertemuan, Abah dibenarkan keluar dari bilik kurungan untuk bersalaman dengan saya dan Umi. Abah mengangkat, mendukung dan mencium saya berkali-kali. Saya terlalu rindukan Abah dan apabila warden bertugas menyuruh Abah masuk kembali ke bilik kurungan, saya menangis dan tidak mahu melepaskan pegangan pada lengan Abah...

Bagaikan binatang di zoo

Sejak hari pertama penahanan Abah hinggalah di saat ini, saya tidak pernah berpeluang mengerjakan solat dan membaca quran bersama beliau. Saya tidak mengharapkan duit belanja atau keluar membeli belah kerana memahami semua itu tidak mungkin dapat dilakukan bersama. Namun, satu perkara yang lebih memedihkan bermula pada bulan April 2005, kami keluarga tahanan hanya dibenarkan bertemu menggunakan interkom di sebalik dinding kaca lutsinar. Bila sahaja melihat Abah di sebalik cermin kaca, hati saya terasa hancur... Ketika itu, saya teringat binatang di zoo yang diletakkan di dalam kotak kaca. Apakah dosa dan kesalahan Abah diperlakukan sedemikian rupa. Sejak tarikh itu, setiap kali melawat Abah, saya hanya berpeluang bercakap melalui interkom dan duduk di sebalik kaca. Saya hanya dapat melihat wajah Abah, tetapi tidak dapat menyentuhnya...hati ini memang pedih yang teramat sangat.



Tujuh tahun saya dipisahkan dari Abah, namun tiada sebarang tanda beliau akan dibebaskan. Walaupun pada tahun 2009 ini ada dua pembebasan beramai-ramai yang mendapat tempat di dada media, namun nama Abah saya tiada dalam kedua-dua senarai pembebasan tersebut....


Perpisahan dengan Abah benar-benar membuat saya rasa rendah diri dan terpinggir. Saya terlalu ingin menjalani kehidupan harian bersama Abah. Saya ingin makan, berbual, bergurau senda dan melakukan pelbagai aktiviti harian bersamanya. Saya juga punya keinginan mempunyai keluarga yang lengkap, sama seperti orang lain.


Hingga kini saya tidak faham kenapa Abah saya, seorang yang pendiam dan mudah tersenyum, masih juga belum dibebaskan. Saya tidak tahu apakah sebenarnya kesalahan beliau kerana tahanan ISA lain yang ditahan bersama Abah tujuh tahun dulu, hampir semuanya telah pun dibebaskan... namun Abah masih tetap dikurung di Kem. Saya setuju dengan pendapat Umi bahawa Abah sepatutnya dibicarakan di mahkamah. Kalau benar ada bukti menyatakan dia salah, sekurang-kurangnya hakim akan menetapkan, bilakah tarikh akhir dia menjalani kehidupan sebagai banduan. Saya amat sedih mengenangkan kehidupan Abah dalam ketidakpastian selama tujuh tahun dan terus berlarutan.


Saya akan terus berdoa pada Allah supaya Abah segera dibebaskan...



*Testimoni ini ditulis oleh Suhaib Mat Sah, anak kepada tahanan ISA Mat Sah Satray. Mat Sah Satray ditahan sejak tahun 2002, dituduh terlibat dalam aktiviti Jemaah Islamiah, namun tidak pernah dibuktikan di mahkamah. Dipetik daripada blog merdekareview.

Sahabat2, renungilah cerita ini. Semoga timbul sedikit kesedaran di hati kita untuk sama-sama kita merasai kesedihan yang dirasai oleh adik yang menulis ini. Marilah sama-sama kita mendoakan supaya insan yang terpisah ini dapat dipertemukan semula.

Monday, August 17, 2009

Kematangan GAMIS Memimpin Gerakan Mahasiswa

Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) yang merupakan badan NGO yang memimpin gerakan mahasiswa di Malaysia dilihat semakin matang dari sudut idealisme yang digagagaskan. Penekanan yang mencakupi seluruh sudut yang berkaitan dengan pembinaan mahasiswa menjadi domain utama yang akan diperjuangkan oleh pimpinan baru GAMIS. Selepas sesi muktamar GAMIS baru-baru ini, gagasan idealisme yang digagaskan oleh presiden baru GAMIS, Ustaz Mohd Idris Mohd Yussoff dari UKM bersama barisan pimpinan GAMIS Pusat dilihat mampu membawa gerakan mahasiswa dewasa ini ke satu tahap yang lebih matang dari sebelum ini. Buat GAMIS, teruskan perjuangan memacu gerakan mahasiswa kearah yang lebih berdaya saing.

Pimpinan GAMIS sesi 09/10:



Presiden GAMIS Mohd Idris UKM



Timbalan Presiden GAMIS Mohd Syazni Munir UM



Pengerusi SIGMA Fasihah UM



Timbalan Pengerusi SIGMA Nurul Izzatie UIA



Setiausaha Agung 1 Mohd Zaki UIA



Timbalan Setiausaha Nisa UPM



Bendahari Agong Safwan UPM



Timbalan Bendahari Atikah UKM


Pngerusi Majlis Tarbiyah dan Kepimpinan Nasional
Azizan Anwar UKM

Timb. Pengerusi Majlis Tarbiyah dan Kepimpinan Nasional
Nazirah UIA

Pengerusi Majlis Politik Nasional
Shafei UM

Tim. Pengerusi Majlis Politik Nasional
Basitah UPM

Pengerusi Majlis Dakwah
Farhan UTMKL

Tim. Pengerusi Majlis Dakwah
Aisyah UM

"Producing World Class Leader"
sumber:http://mtkn-gamis.blogspot.com/

Friday, August 14, 2009

Bersediakah Najib beri ruang buat Saifuddin, Zaini?

Selepas meninggalkan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) 23 tahun lalu, hanya beberapa kali saya singgah di kampus Jalan Semarak itu meskipun sering melintasinya ketika pulang dari pejabat.

Namun pada 11 Ogos lalu, saya tergerak untuk mengikuti syarahan perdana Naib Canselor, Prof Dr Zaini Ujang, bertajuk Universiti, Kreativiti, Inovasi. Dan memang berbaloi saya mengorbankan 'waktu tidur petang' selepas menyiapkan deadline Harakah.

Zaini, 43, naib canselor termuda, merupakan teman lama sewaktu aktif dalam gerakan pelajar sekitar 1984-86. Walaupun tidak berkesempatan menyerlahkan sepenuhnya daya kepimpinan beliau sewaktu menggerakkan Persatuan Mahasiswa UTM, bakat alam Zaini cukup terserlah.

Intipati syarahannya pada petang Selasa itu mengingatkan saya idealisme Zaini yang tidak pernah pudar. Tanggapannya terhadap konsep universiti, budaya ilmu dan tugas kesarjanaan kekal segar.

Ini tidak menghairankan; Zaini dikenali sejak mahasiswa sebagai ulat buku, pencinta ilmu, yang kemudiannya penulis prolifik yang memenatkan para editor di Penerbit UTM Press!

Bayangkan untuk tahun ini sahaja sudah enam judul bukunya diterbitkan.

Antara lain Zaini mengungkapkan senario semasa yang perlu diubah: "... betapa menjadi pensyarah tidak lagi memerlukan kemantapan intelektual dan kesegaran idealisme terhadap akademia ... Aspek yang menjurus kepada pembinaan minda kelas pertama dan pembudayaan ilmu seperti wacana, diskusi, 'kegilaan membaca dan menulis' dan persekitaran yang mesra intelektualisme tidak lagi menjadi trend dan aset penting.

"Tidak ada lagi debat atau diskusi ilmiah tentang isu-isu pokok yang membabitkan perkembangan isu semasa dalam arena politik, ekonomi, sosial, sains dan teknologi. Kalaupun ada jarang sekali dianjurkan. Itu pun dengan segala macam syarat dan perkiraan supaya tidak bersifat sensasi dan sensitif. Akhirnya aktiviti kampus yang sepatutnya meriah ilmu menjadi hambar dan lesu ..."

Walaupun kehadiran Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Saifuddin Abdullah adalah untuk merasmikan majlis syarahan perdana itu, namun ucapannya juga menggugah pemikiran dan mencetuskan minat audien.

Agak lama tidak mendengar pak menteri bercakap dengan nada dan lenggok Saifuddin, terutama selepas Anwar Ibrahim dipecat. Kupasannya tentang dunia ilmu nampak original dan selari dengan Zaini.

Lebih dari itu, secara peribadi saya melihat Saifuddin mempunyai 'keberanian' tersendiri khususnya apabila membicarakan soal idealisme mahasiswa dan kaitan dengan dunia politik.

Dalam satu program Astro Awani, Saifuddin ditanya hal pembabitan mahasiswa dengan pergolakan semasa. Timbalan menteri dalam jawapannya banyak memberi ruang buat pelajar untuk bereksperimen. "Biar mahasiswa menentukan diri mereka sendiri," begitulah antara yang beliau sering tekankan.

Dari sudut ini, saya kira, jalur pemikiran Saifuddin nyata berbeza dengan rakan-rakannya dalam Umno dan kerajaan. Malah ketika menyampaikan ucaptama dalam kongres anjuran Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), 8 Ogos lalu, beliau dilaporkan memuji penganjurnya kerana lantang berjuang supaya Akta Universiti dan Kolej Universiti dipinda.

Dalam sidang media selepas itu, Saifuddin berkata, selepas pindaan Auku, mahasiswa boleh terlibat lebih banyak dalam politik.

Ditanya sama ada kementeriannya telah mengenal pasti mahasiswa yang terlibat dalam demonstrasi anti-ISA, 1 Ogos, Saifuddin hanya menjawab "tidak ada". Lebih menarik apabila beliau menyoalnya kembali: "Apa masalahnya dia hendak demonstrasi?"

Saifuddin dan Zaini mungkin dilihat sebagai watak-watak baru yang diharap berupaya memecahkan kongkongan lapuk di kampus-kampus, yang sekian lama menderita terpasung.

Malangnya lebih ramai pentadbir universiti, apatah lagi golongan penguasa, yang terus terikat dengan pendekatan kuno, dan meletakkan warga kampus dalam penjara terbuka.

Moga-moga dua anak muda ini, yang rasanya rapat secara peribadi dengan Perdana Menteri, berjaya menggapai impian mereka meskipun saya masih sangsi Najib Razak akan membuka ruang selesa buat mereka. _

Ahmad Lutfi Othman
http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=022121&Itemid=39

Monday, August 10, 2009

UTM : The Highest Among Malaysian Universities


MY HEARTIEST CONGRATULATIONS TO ALL THE STAFF AND STUDENTS OF UTM

I am pleased to announce that UTM has once again lived up to its mark of excellence after being ranked the highest among all Malaysian universities in the Web Ranking of World Universities. UTM has made us all proud after being ranked 642, leading all other Malaysian universities with USM trailing behind at 675, UniMAP at 745, UM at 878, UKM at 963 and UPM at 979. With this outstanding achievement, UTM is now the top ten in South East Asia and top 100 at 89th place in Asia in the Web Ranking of World Universities.

This remarkable success is the result of your strong commitment and relentless effort to aspire and achieve the best for the university. With your dedication, teamwork, hardwork and strong spirit of togetherness, you have proven that we can be the best if we put our hearts and mind to achieve our goals and aspiration. We have made it once again. My sincere appreciation and utmost gratitude to all of you. Together we can make a difference. WELL DONE!!!


Vice-Chancellor
Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Wednesday, August 5, 2009

:: Road Tour Kuliah Hadis 40 ::

Assalamualaikum…

MAKLUMAN:

Lujnah Pendidikan & Kepimpinan PMIUTM akan mengadakan Road Tour Kuliah Hadis 40 yang disampaikan oleh Ustaz Dr. Arief Salleh Rosman pada setiap minggu. InsyaAllah, pada minggu ini, Road Tour Kuliah Hadis 40 (RTKH 40) akan berlangsung di Surau Al-Ilmu, Kolej Tun Dr. Ismail. Berikut adalah maklumat lanjut mengenai kuliah tersebut:


Program : Road Tour Kuliah Hadis 40
Penyampai : Ustaz Dr. Arief Salleh Rosman
Tarikh : Setiap hari Jumaat malam
Masa : Antara Maghrib dan Isya’
Tempat : Surau-surau Kolej Kediaman



Jadual Road Tour Kuliah Hadis 40 oleh Ustaz Arief.
(Sila klik untuk besarkan)


Untuk makluman, kuliah ini telah bermula semenjak minggu ke-3 sesi pengajian. Oleh itu, dijemput semua mahasiswa mahasiswi Islam UTM untuk sama-sama mengimarahkan surau-surau kolej yang terlibat. Makanan juga disediakan selepas kuliah. Sekian, terima kasih.

Team Ukhuwwah LPK anjur Futsal Rijalul Dakwah



Assalamualaikum…

Salam perjuangan buat sahabat-sahabat. InsyaAllah, Team Ukhuwwah LPK PMIUTM akan mengadakan program pertama di bawah kendalian Team Ukhuwwah iaitu perlawanan Futsal Rijalul Dakwah. Perlawanan Futsal ini terbuka kepada semua ahli LPK PMI Muslimeen. Berikut adalah butiran terperinci program perlawanan futsal ini:

Program : Peralawanan Futsal Rijalul Dakwah
Tarikh : 9 Ogos 2009
Masa : 7.30 pagi (berkumpul)
Tempat : Gelanggang Futsal KTC




Oleh itu, dijemput semua sahabat-sahabat LPK senior-junior untuk sama-sama memeriahkan perlawanan futsal tersebut di samping mengukuhkan tali ukhuwwah sesama ahli LPK.

Selain itu, bagi sahabat-sahabat muslimat pula, anda dijemput untuk menghadiri Karnival Wanita (KAWAN ’09) yang diadakan bermula 7-9 Ogos bertempat di dataran Pusat Ko-Q dan sekitarnya. Pelbagai acara menarik disediakan khususnya untuk muslimat. Team Ukhuwwah muslimat menjemput sahabat-sahabat muslimat LPK khususnya untuk melibatkan diri dalam setiap acara yang dijalankan.

Sekian, terima kasih.

“Team Ukhuwwah LPK ‘09”

Tuesday, August 4, 2009

Kemanisan Sebuah Perjuangan itu DIRASAI Bila…

Perjuangan ini ibaratnya kita melalui jalan yang berduri. Dek kerana meredah jalan yang berduri ini, pastinya terpalit luka-luka pedih yang menjadi saksi untuk perjuangan yang suci ini. Jika kita singkap kembali sirah junjungan insan mulia Rasulullah S.A.W, perjuangan dakwah yang dilalui baginda cukup mencabar! Diancam bunuh, dupulaukan, diseksa serta dimaki hamun sudah menjadi satu perkara yang cukup sinonim dengan perjuangan dakwah baginda. Lihat saja berapa ramai pengikut baginda yang diseksa malahan dibunuh dengan kejam oleh orang-orang yang bencikan Islam!
Walaubagaimanapun, ada juga sesetengah golongan yang mengatakan mereka juga berjuang, tapi tiada apa mehnah dan tribulasi yang mereka tempuhi! Inikah yang dinamakan perjuangan? Bukankah ini berlawanan dengan fitrah perjuangan yang dilalui oleh para Anbiya’ suatu ketika dahulu? Sama-sama kita fikirkan. Allah S.W.T menukilkan di dalam kitab-Nya untuk pedoman semua :





Menyorot kembali peristiwa 1 Ogos 09, lautan manusia yang turun ke jalanan meminta supaya Akta Zalim ISA dimansuhkan! Perjuangan ini membawa erti yang cukup besar kepada kita bahawa dalam dunia sekarang, masih ada lagi ketidakadilan berlaku di dunia ini khususnya Malaysia ini. Amat menyedihkan, apabila seorang sahabat saya menceritakan tentang seorang adik usrahnya yang mana ayah kepada adik itu telah ditahan di bawah akta zalim ini selama 8 tahun! Bayangkan sahabat-sahabat semua… Jika sekiranya kita yang berada di tempat adik itu, apa perasaan kita? Mampukah kita menghadapi situasi dan keadaan di mana ayah yang kita sayangi ditahan tanpa dibicara? Mampukah kita?



Manusia Diadili di Mahkamah Akhirat

Apabila umat manusia dibangkitkan di hari akhirat kelak, Allah S.W.T. telahpun menyediakan mahkamah-Nya untuk mengadili manusia setelah mereka diberi peluang untuk mengecapi nikmat Allah yang tiada bandingannya. Di Hari Pembalasan ini nanti, manusia dibicarakan seadil-adilnya dan mereka akan dijatuhi hukaman yang setimpal dengan perbuatan mereka. Nah! Lihatlah sahabat-sahabat, Allah S.W.T. pun menyediakan mahkamah untuk manusia dibicarakan! Dan Allah juga mendatangkan saksi-saksi-Nya yang terdiri daripada anggota tubuh manusia itu sendiri. Tidak cukup dengan itu, Allah jadikan hari-hari yang dilalui oleh manusia itu sebagai saksi-Nya serta Allah juga menjadikan Bumi yang didiami manusia, yang menjadi pentas kepada aksi lakonan manusia selama mereka hidup sebagai saksi-Nya di akhirat supaya manusia yang dijatuhi hukuman oleh Allah kelak dapat menerima hukuman itu tanpa mempersoalkan hukuman tersebut setelah didatangkan saksi-saksi yang benar. Firmanullahu S.W.T dalam surah Al-Zalzalah ayat 4:





Sahabat yang dirahmati Allah, kemanisan sebuah perjuangan itu dirasai bila kita sendiri melalui kesusahan, kepahitan dan penderitaan perjuangan itu. Ya, memang benar! Pertama kali dalam sejarah hidup ini merasai gas pemedih mata, pertama kali diri ini merasai semburan asid water canon cukup menyedarkan diri ini betapa perjuangan yang dilalui ini sungguh sukar, namun kemanisan perjuangan untuk membela Islam itu ada di sebalik kesukaran dan penderitaan itu. Lantas, hati ini telah membulatkan tekad, meneguhkan azam serta mempasakkan cita-cita untuk bersama-sama berjuang menentang kezaliman sehingga ianya terhapus!

Mansuh! Mansuh! Mansuh ISA!!
Hancur! Hancur! Hancur Kezaliman!!

Sunday, August 2, 2009

:: KKM ’09 : Kemunculan Generasi Pertama (Gen- 1) ::



Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin-Nya, PMIUTM dengan kerjasama Lujnah Tarbiyyah & Kepimpinan Surau (LTKS) KTDI dan Biro Kerohanian & Sosial (BIKERS) KTHO telah berjaya menganjurkan Kem Kembara Muslim 2009 (KKM ’09) pada 24 hingga 26hb Julai yang lalu. KKM ’09 telah berlangsung di Kem Kaizen, Gunung Pulai, Johor selama 3 hari 2 malam.

Seramai hampir 50 orang peserta yang terdiri daripada mahasiswa mahasiswi tahun 1 telah menyertai KKM ’09 pada kali ini. Walaubagaimanapun, ramai juga di kalangan mahasiswa mahasiswi yang telah berdaftar dengan PMI pada sesi kali ini yang berasa sedikit kecewa apabila tidak dapat menyertai KKM kerana terpaksa mengikuti program-program anjuran fakulti masing-masing serta terlibat dengan aktiviti serta latihan SUKAM. Ustaz Aminuddin Hehsan dari Fakulti Tamadun Islam telah menjadi pensyarah pengiring bagi program ini.



Pada sesi kali ini, KKM ’09 yang bertemakan “ Menuju Hikmah, Mencapai Barakah” telah tampil dengan gaya serta pengisian yang baru apabila memuatkan beberapa slot aktiviti outdoor di samping menyelitkan beberapa aktiviti LDK yang mempunyai unsur-unsur membina keyakinan para peserta. KKM ’09 kali ini diketuai oleh Kem Komanden, Sdr. PK Mohd Adhwa serta Penolong Kem Komanden, Sdri. Aida.

Berikut adalah sedikit kronologi aktiviti yang telah dijalankan oleh peserta KKM ’09:

24 Julai 2009 (Jumaat)

Peserta dan AJK KKM ’09 telah berkumpul di FAB untuk menunggu bas yang bakal membawa mereka ke Kem Kaizen, Gunung Pulai. Peserta dan AJK telah tiba di tapak kem pada waktu maghrib dan bersama-sama menunaikan solat maghrib secara berjemaah. Selepas itu, peserta dan AJK KKM ’09 bekerjasama mendirikan khemah-khemah sebagai tempat penginapan.



Kedudukan tapak khemah sedikit unik apabila kami ditempatkan di sebuah “pulau” yang dikelilingi oleh tasik di kem tersebut. Sejurus menunaikan solat Isya’, peserta dan AJK mengisi perut masing-masing dan kemudiannya meneruskan program dengan sesi ta’aruf. Selepas sesi ta’aruf yang dikendalikan oleh Kem Komanden, Saudara PK Mohd Adhwa, para peserta serta beberapa orang AJK bersiap sedia melakukan aktiviti outdoor yang pertama iaitu Night Walk.



Dalam aktiviti Night Walk ini, peserta dilepaskan secara berseorangan meredah kawasan hutan Gunung Pulai. Aktiviti ini bertujuan membina keyakinan diri peserta serta keyakinan mereka kepada Allah S.W.T sebagai tempat bergantung dan memohon pertolongan apabila kita berseorangan.




25 Julai 2009 (Sabtu)

Merupakan hari yang paling mencabar bagi semua peserta. Dimulakan dengan sesi Qiamullail, tazkirah Subuh yang disampaikan oleh Saudara Muhajirih, Mantan Presiden PMIUTM 2005 yang menggantikan saudara Presiden PMIUTM 2009, Mohd Amin Mohd Hamami yang tidak dapat mengahadirkan diri kerana tidak sihat, hujan pagi turun membasahi kem. Walaubagaimanapun, hujan yang turun tidak sedikitpun mematahkan semangat para peserta untuk mengikuti aktiviti yang disediakan. Slot ceramah pertama, Islam Cara Hidupku telah disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Taib dan disambung slot LDK. Selepas waktu Zohor, peserta dan AJK bersiap-sedia untuk melakukan aktiviti outdoor yang kedua, Junggle Trekking.





Dalam aktiviti ini, kami telah menemui beberapa tinggalan sejarah seperti kubu British. Pada waktu malam, slot tadabbur al-quran di bawah bimbingan saudara Mohd Firdaus Ab. Rahman, Timbalan Presiden PMI UTM berjalan lancar. Kemudian, slot LDK berkaitan akhlak telah Berjaya mencungkil bakat serta kebolehan para peserta muslimin dan muslimat apabila masing-masing menunjukkan kematangan dan kemahiran berbahas serta berhujah dengan baik.



26 Julai 2009 (Ahad)

Hari terakhir KKM ’09. Aktiviti outdoor ketiga, Rentas Halangan mengisi pagi yang nyaman dan sejuk setelah hujan agak lebat selepas solat subuh. Aktiviti yang menguji ukhuwwah, semangat kerjasama serta fizikal para peserta (tarbiyyah jasadiyah). Alhamdulillah, semua peserta berjaya melepasi halangan-halangan yang ada dengan baik. Selepas solat zohor, slot resolusi merupakan slot terakhir program. Dalam slot ini, para peserta telah mengeluarkan beberapa resolusi yang mereka perolehi daripada KKM ’09 dan seterusnya akan melaksanakan resolusi tersebut bila pulang ke kampus kelak. Di akhir program, Generasi Pertama (Gen-1) ditubuhkan. Diharapkan, dengan lahirnya Gen-1 ini, ianya bakal mengikat ukhuwwah yang telah dibina dalam kalangan peserta di samping dapat membentuk satu team yang bakal bersama-sama dengan pimpinan-pimpinan PMIUTM untuk melaksanakan program-program PMI di kampus, InsyaAllah.

Saturday, August 1, 2009

.: LPK : Penubuhan Team LPK :.

Assalamualaikum…

Alhamdulillah, baru-baru ini telahpun berjalan satu perjumpaan pimpinan LPK bersama dengan Sahabat LPK 09 bagi membincangkan penubuhan team –team di bawah Sahabat LPK. Penubuhan team-team ini adalah bertujuan untuk memfokuskan gerak kerja LPK di samping menyelaraskan aktiviti-aktiviti di peringkat LPK sendiri. Ahli-ahli yang berada dalan setiap Team ini juga akan bertindak selaku Think Tanker untuk brainstorming ataupun membincangkan aktiviti berkaitan team berkenaan.

Sebanyak 3 Team telah ditubuhkan iaitu Team Dakwah LPK, Team Ukhuwwah LPK dan Team Fasilitator LPK. Bagi setiap Team berkenaan, ianya akan diketuai oleh senior-senior LPK yang berada dalam Jabatan Pembangunan Insan (JPI). Setiap team pula mempunyai focus gerak kerja tersendiri.

Team Dakwah LPK PMIUTM
• Merupakan team yang akan merancang dan melaksanakan aktiviti-aktiviti dakwah umum di peringkat kampus.
• Sebagai contoh, sambutan hari ataupun bulan kebesaran dalam Islam, pengedaran risalah, bookmark serta ucapan-ucapan sempena final exam.
• Menyelaraskan serta meng’update’ blog LPK : blog diisi dengan berita serta promosi berkaitan aktiviti LPK, perjumpaan LPK serta bahan-bahan dakwah seperti artikel dan sebagainya.

Team Ukhuwwah LPK PMIUTM

• Bertindak untuk merancang aktiviti-aktiviti di peringkat ahli LPK untuk mengeratkan ukhuwwah sesama ahli LPK.
• Mengadakan perjumpaan ahli LPK 2 minggu sekali dan merancang pengisian di dalamnya.
• Contoh aktiviti : rehlah, sukan, usrah, team sukan.

Team Fasilitator LPK PMIUTM
• Team yang akan menggilap ahli-ahlinya untuk membincang serta merangka modul-modul berkaitan program fasilitator.
• Menjalankan program fasilitator di sekolah-sekolah

Harapan saya semoga dengan terbentuknya team-team ini bakal melancarkan dan merancakkan lagi gerak kerja LPK di samping melatih mahasiswa mahasiswi Tahun Satu terutamanya untuk turut sama terlibat dalam merangka serta memberi idea berkaitan dengan program-program anjuran LPK khususnya. Harapan semoga ahli-ahli LPK yang diberikan tugas untuk menggerakkan team-team ini dapat memberikan komitmen secara berterusan, InsyaAllah. Siiru a’la barakatillah.

“ Tarbiyyah Sentiasa di Hati”