About me

Lujnah Pendidikan & Kepimpinan PMIUTM. Merupakan salah sebuah lujnah dalam organisasi PMIUTM.

Followers

Wednesday, March 11, 2009

SeANdAInyA KaU TaHU...

Bismillahirrahmanirrahim…

Firmanullah S.W.T:

"Maka adakah kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada kami?"

Surah Ali-Imran, ayat 115.

Dan firman Allah lagi:

"Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). dan kalaulah ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik."
Surah Ali-Imran, ayat 110.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah,

Seandainya kau tahu bahawa kita adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk memikul amanah dakwah yang maha berat ini, pasti kita tidak hanya berpeluk tubuh, menongkat dagu dengan hanya melihat segolongan orang yang bersusah-payah untuk menyampaikan risalah dakwah ini. Sesungguhnya, Allah S.W.T telah menciptakan kita bukan hanya untuk dijadikan perhiasan dunia semata-mata, akan tetapi hakikat penciptaan manusia itu adalah untuk pengabdiaan kepada Allah S.W.T secara menyeluruh, bukan hanya dalam konsep ataupun takuk yang berkaitan dengan ibadah solat semata-mata, akan tetapi pengabdiaan yang mencakupi semua aspek kehidupan disamping taklifan memikul amanah untuk menegakkan agama Allah serta mentadbir alam dengan agama Allah, yakni menjadi khalifah di atas muka bumi ini.(Ibnu Taimiyah)

Sebagai seorang hamba yang telah menyematkan kalimat Laailahaillallah sebagai pasak yang kukuh dalam hati sepatutnya kitalah yang menjadi pendokong utama dalam menyampaikan risalah dakwah ini. Namun persoalannya sekarang, berapa ramai orang yang sedar akan bebanan dan amanah yang telah ditaklifkan di bahu kita ini? Sesungguhnya, dakwah ini memerlukan ramai pendokong-pendokong yang memiliki hati yang ikhlas serta berjiwa murabbi.

Jika disingkap kembali sirah Rasulullah s.a.w, ketika zaman baginda memulakan dakwahnya, muncul beberapa orang pemuda yang sanggup menjadi pendokong bersama-sama baginda bagi mendokong perjuangan Islam ini. Abu Bakar As-Siddiq, Umar Al-Farouq, Usman ibn Affan, Ali bin Abi Thalib dan ramai lagi yang mana mereka ini memiliki jiwa besar dalam mendokong amanah ini. Tetapi pada hari ini, siapakah pendokong berjiwa besar yang kita ada? Berapa ramaikah dalam kalangan kita ini wujudnya orang-orang yang memiliki ciri-ciri seperti ini? Siapa mereka?

Wahai sahabat-sahabatku…

Seandainya kau tahu kerja-kerja untuk islam adalah lebih banyak daripada masa yang kita ada, nescaya kita tidak akan membuang masa yang ada dengan perkara yang sia-sia. Andai kata kita melibatkan diri dalam menyeru manusia ke arah kebaikan dan mencegah dari melakukan perkara yang mungkar, sudah tentu kita sedar bahawasanya peranan yang perlu kita mainkan adalah sangat besar dalam menyedarkan orang ramai yang berada di sekitar kita terutamanya masyarakat kampus.

Jika kita lihat realiti kehidupan mahasiswa hari ini, kebanyakan daripada kita suka membuang masa dengan perkara yang tidak sepatutnya. Window shopping, main game, lepak, tidur yang berlebihan sememangnya sudah menjadi trend kebanyakan masyarakat kampus dewasa ini. Ramai diantara kita yang leka dengan keadaan yang kita ada sekarang iaitu keadaan yang amat selesa (condusive zone) sehingga menyebabkan kita hanyut dibawa arus keselesaan ini. Keadaan inilah yang menyebabkan kita tidak mahu bersama-sama melibatkan diri dalam gerak kerja Islam dengan beranggapan bahawa sudah ada orang yang melakukannya walhal kita sebenarnya mahu melepaskan diri dari melakukan tugasan ini serta tidak mahu bersusah-payah.

Firman Allah :

"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian."
Surah Al- Asr, ayat 1 dan 2.

Sahabatku, ketahuilah! Inilah yang dikatakan sebagai ujian kesenangan yang mana ujian inilah yang paling ditakuti oleh kebanyakan orang yang sedar akan bahayanya ujian ini. Teringat saya akan analogi yang dibawakan dalam cerita Sang Murabbi, iaitu tentang seekor monyet yang berada di atas pokok. Apabila datang angin yang kencang, maka semakin kuatlah monyet itu berpegang pada pokok yang dipanjatnya supaya tidak jatuh. Tetapi, apabila datang angin sepoi-sepoi bahasa, angin itu membelai sang monyet menyebabkan ia terasa begitu selesa dan lupa untuk berpegang dengan kemas pada pokok sehingga menyebabkan ia terjatuh.

Sahabatku yang aku cintai kerana Allah,

Seandainya kau tahu hakikat kejadian manusia ini, pasti engkau sedar akan tanggungjawab yang perlu digalas ini. Satu tanggungjawab yang berat, jauh perjalanannya, banyak mehnah dan tribulasinya serta tiada masa untuk kita tidak berfikir tentangnya adalah merupakan realiti dalam medan ini.Marilah kita bersama-sama mengubah paradigma selaku orang yang memiliki daya intelek yang tinggi supaya paradigma yang kita miliki selari dengan kehendak dan keredhaan Allah S.W.T untuk sama-sama kita mengecapi nikmat syurga-Nya kelak. Wallahua’lam. “Bersama Membangun Ummah”.

No comments:

Post a Comment