About me

Lujnah Pendidikan & Kepimpinan PMIUTM. Merupakan salah sebuah lujnah dalam organisasi PMIUTM.

Followers

Wednesday, March 25, 2009

FORUM Maulidur Rasul KTC dapat sambutan hangat!

Sufi (moderator forum), Ust. Rifqi dan Dr. Azhar

UTM, 22 Mac- Sebuah forum yang bertajuk “ Subuh Yang Terakhir: Detik-Detik Kewafatan Kekasih Allah” telah diadakan di Dewan Astana, Kolej Tunku Canselor (KTC) sempena sambutan Maulidur Rasul 1430H. Forum ini telah dianjurkan oleh Biro Kerohanian (BADAR) JKM KTC dengan kerjasama Lujnah Pendidikan & Kepimpinan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Teknologi Malaysia (PMIUTM). Dr. Azhar Bin Muhammad, Pengarah Masjid Sultan Ismail (MSI) dan Ustaz Rifqi Bin Maidin merupakan panelis bagi forum ini. Program yang bermula pada jam 9.10 minit malam itu dan tamat pada pukul 11.00 malam telah berjaya menarik kira-kira 250 orang hadirin yang terdiri daripada mahasiswa mahasiswi UTM.

Mahasiswa mahasiswi yang hadir sedang khusyuk mendengar

Program ini berjaya mencapai objektifnya apabila kedua-dua panelis telah mengupas dengan panjang lebar berkenaan dengan detik-detik kewafatan Rasulullah S.A.W. Forum ini dimulakan oleh Al-Fadhil Ustaz Rifqi selaku ahli panel yang pertama dengan menceritankan kronologi tentang kedatangan tanda-tanda kewafatan kekasih Allah itu.

Allah S.W.T telah memberikan beberapa isyarat yang menandakan tentang hampirnya ajal baginda Rasulullah S.A.W. Di antara ayat al-quran yang menunjukkan tentang ajal baginda bakal tiba ialah dalam surah Az-Zumar, ayat 30 yang bermaksud:

“Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan mati, dam mereka juga akan mati.”

Baginda Rasulullah S.A.W telah jatuh sakit pada akhir bulan Safar pada tahun kesebelas hijrah. Pada tanggal 29 Safar tahun kesebelas hijrah (Isnin), baginda telah merasa sakit kepala dan mengalami demam yang bertambah panas semasa pulang dari menyaksikan jenazah di kubur Baqi’. Itulah permulaan kesakitan yang ditanggung oleh Rasul terakhir ini sehingga membawa kepada kewafatan baginda.

Pada hari terakhir sebelum kewafatan baginda, iaitu hari Isnin, 12 Rabiul Awwa, tahun kesebelas hijrah, waktu subuh terakhirnya, baginda Nabi Muhammad S.A.W tersenyum menyebabkan para sahabat menyangka bahawa baginda telah pun sembuh. Pada waktu akhir Dhuha, insan teristimewa ini akhirnya dijemput oleh Sang Pencipta untuk mengadap-Nya selepas baginda mengulangi kalimah terakhirnya:

Bersama orang-orang yang diberi nikmat keatas mereka, di kalangan Nabi-Nabi, para Siddiqin, Syuhada dan orang-orang yang soleh. Ya Allah ya Tuhanku! Ampunilah aku, rahmatilah daku dan letakkan aku bersama teman yang Maha Tinggi.

Selepas mengulangi kalimah tersebut, tiba-tiba tangan dan jari kekasih Allah ini yang diangkat jatuh longlai, menandakan Rasulullah S.A.W yang tersayang telah pergi meninggalkan alam dunia ini.

Sesungguhnya, dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali.

Forum ini diakhiri dengan kesimpulan yang telah dilakukan oleh kedua-dua ahli panel. Sebelum majlis melabuhkan tirainya, pihak penganjur menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan kuiz yang telah diadakan pada sebelah petang. Hadiah telah disampaikan oleh Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UTM, saudara Mohd Amin Bin Mohd Hamami.

Penyampaian hadiah oleh Presiden PMIUTM kepada pemenang kuiz

Pengetua Kolej tunku Canselor, Prof. Madya Dr. Yahya Bin Buntat, turut menyampaikan cenderahati kepada ahli panel dan juga moderator forum. Majlis diakhiri dengan para hadirin mengalunkan Qasidah Muhammadiah yang dipimpin oleh saudara Mohd Fahmin Bin Mohd Sabri, Ketua Jabatan Aktiviti dan Rekreasi, Kleab Remaja Ukhwah KTC. Selesai program, para hadirin dijemput menjamah sedikit makanan yang telah disediakan oleh pihak penganjur. Harapan semoga dengan adanya program seperti ini dapat kita meningkatkan kecintaan kita kepada baginda Nabi Muhammad S.A.W.

“Bersama Membangun Ummah”

No comments:

Post a Comment